True

Pengalaman belanja 3D Raya ini
Berita Harian, Apr 20, 2020



RAMAI peniaga Melayu yang telah mengeluarkan modal ribuan dolar bagi membeli barangan untuk dijual di bazar.

Namun, dengan langkah pemutus rantaian jangkitan, bukan sahaja mereka terjejas dengan pembatalan bazar pada bulan Ramadan ini, tetapi mereka juga terjerat akibat tidak dapat menjual barangan mereka di kedai secara fizikal.

Bagi membantu peniaga sedemikian, terutama dalam musim Ramadan ini, satu wadah e-dagang telah dibangun dan akan dilancarkan awal bulan depan.

Dinamakan BazaarRia, wadah dalam talian itu menyediakan pengalaman 3-Dimensi iaitu membolehkan pelanggan berasa seolah-olah mereka berada di kedai secara fizikal dan dapat membelek-belek barangan yang dipamerkan.

BazaarRia dibangunkan secara bersama Vizzio Technologies Pte Ltd, sebuah syarikat permodelan kecerdasan buatan ruang 3D; InfoFabrica Holdings Pte Ltd, firma simpanan 'cloud' dan Mi Planets Pte Ltd, sebuah syarikat e-dagang.

Tiga syarikat tersebut bekerjasama dengan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) untuk memasarkannya kepada para peniaga Melayu setempat.

Diminta mengulas, Encik Abu Bakar Mohd Nor, yang merupakan pengerusi ketiga-tiga syarikat tersebut, memberitahu Berita Harian:

"Saya memahami ramai yang terjejas semasa waktu ini dan berasakan ini juga adalah peluang untuk kita memulakan satu inisiatif yang baik walaupun masa kini agak mencabar terutamanya bagi mereka yang mempunyai perniagaan runcit,".

Encik Abu Bakar menambah, apabila dilancarkan kelak, laman itu akan menjadi wadah beli-belah 3D pertama di Singapura.

"Sejauh ini, kami telah melakukan pengimbasan 3D bagi enam kedai di Joo Chiat Complex untuk kajian dan kami merancang memasukkan lebih banyak lagi perniagaan pada masa akan datang.

"Buat masa ini kami akan terus mengembangkan laman ini untuk memenuhi keperluan bukan hanya pemilik perniagaan malah para pelanggan apabila dilancarkan," jelasnya.

Menyentuh kerjasama dengan DPPMS, Encik Abu Bakar, yang juga Timbalan Presiden pertubuhan tersebut, berkata BazaarRia akan terus beroperasi melampaui bulan Ramadan dan boleh dimanfaatkan peniaga Melayu dalam usaha pendigitalan mereka, sejajar dengan misi DPPMS untuk menyokong perniagaan dalam transformasi digital mereka.

"Saya harap para peniaga akan mengambil peluang ini untuk meneroka strategi baru seperti penjualan dalam talian secara 3D dan supaya perniagaan mereka mampu terus berdaya tahan dan bersaing dalam jangka masa panjang," ujarnya.

online-storesg
20 April, 2020
Share this post
Our blogs
Archive
Sign in to leave a comment
Bazar Ramadan 3D 'bawa pelanggan ke kedai'
Berita Harian, May 3, 2020